PROJEK PAN BORNEO DITERUSKAN SEPERTI YANG DIRANCANG


KUCHING : Kajian rasionalisasi kos projek Lebuhraya Pan Borneo diharapkan tidak akan mengkompromi soal kualiti dan keselesaan pengguna dalam pelaksanaan projek mega itu.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana tadbir urus yang ditetapkan dalam pelaksanaan projek berkenaan di Sarawak dan Sabah dipatuhi, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo adalah “game changer” bagi rakyat di Sabah serta Sarawak dan ia perlu diteruskan seperti dirancang demi kemudahan serta keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan ketika mengulas pembentangan Baket 2019, hari ini.

Ketika membentangkan Bajet 2019, Menteri Kewangan, Lim Guang Eng, memberi jaminan kerajaan akan meneruskan berkenaan, namun ia tertakluk kepada kajian rasionalisasi kos projek berkenaan.

Lebuhraya Pan Borneo adalah janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian jalan raya Lebuhraya Trans-Kalimantan, Indonesia.

Projek lebuhraya sejauh 2,325km itu dibiayai Kerajaan Pusat dengan kos anggaran RM29 bilion dijadualkan siap pada 2022.

Selain itu, Fadillah yang juga bekas Menteri Kerja Raya mengharapkan keutamaan akan diberikan kepada projek pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan kepada kawasan yang benar-benar memerlukan terutamanya di kawasan luar bandar.

Fadillah bagaimanapun mempersoalkan sama ada peruntukan RM500 juta untuk projek membina semula dan membaikpulih sekolah daif di Sarawak pada 2019 masih ada atau tidak.

“Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2019 mengumumkan sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi pembinaan sekolah daif di seluruh negara.

“Kerajaan terdahulu mengumumkan RM2.5 bilion untuk pulih sekolah daif bagi tempoh dua tahun iaitu 2018 dan 2019, dengan RM500 juta bagi Semenanjung dan masing-masing RM1 bilion bagi Sabah dan Sarawak. Ini bermakna ada RM500 juta untuk Sarawak pada 2018 dan RM500 juta lagi pada 2019, begitu juga Sabah,” katanya.

Mengenai peruntukan RM4,346 juta kepada Sarawak, beliau berkata Sarawak berhak mendapat peruntukan sama rata atau lebih berbanding Sabah, berikutan saiz negeri Sarawak yang jauh lebih luas, selain keperluan rakyat di Sarawak khususnya di luar bandar.

Sabah menerima RM5,009 juta dalam Bajet 2019 berbanding RM4,133 juta pada 2018. - Berita Hatian

No comments:

Post a Comment