SUAMI ISTERI DISYAKI PENGEDAR DADAH DITANGKAP DI KOTA SAMARAHAN

 Dadah yang ditemui di dalam rumah suspek.

Kereta milik suspek yang disita untuk siasatan lanjut

KOTA SAMARAHAN: Sepasang suami isteri berdepan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Superintenden Sahar Abd Latif berkata pasangan yang berusia 36 dan 37 tahun itu ditangkap susulan penemuan dadah jenis syabu seberat 544.37 gram dalam serbuan ke atas rumah mereka di Merdang Garden, di sini sekitar jam 1.10 petang semalam.

“Pemeriksaan ke atas badan kedua-dua suspek tidak menjumpai apa-apa barang yang salah, namun pemeriksaan lanjut di dalam rumah menjumpai 32 paket plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 472.30 gram.

“Turut dijumpai satu beg yang mengandungi satu plastik lutsinar juga berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 72.07 gram.

“Kesemua dadah yang dianggarkan bernilai RM81,656 itu dirampas dan pasangan terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut,” kata Sahar dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Sahar, turut disita dalam serbuan tersebut ialah wang tunai, barang kemas dan tiga buah kereta milik pasangan terbabit yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM169,080.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan awal mengesyaki aktiviti pengedaran (dadah) mereka bermula tahun lepas (2017) hingga sekarang.

“Kedua-dua suspek dalam proses permohonan reman,” kata Sahar. - Utusan Borneo

No comments:

Post a Comment